DBKL tidak akan mengeluarkan sebarang lesen bagi penjualan vape
Tan Su Lin
Disember 18, 2015 18:51 MYT
Disember 18, 2015 18:51 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan mengeluarkan sebarang lesen bagi penjualan vape di mana-mana premis di ibu negara.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja, Ibrahim Yussof, berkata sebarang permohonan baharu akan ditolak.
Setakat ini, DBKL hanya menerima satu permohonan penjualan vape, namun ia telahpun ditolak.
Jelasnya, DBKL sememangnya tidak pernah mengeluarkan lesen penjualan vape, namun ada pihak yang mengambil kesempatan memohon penjualan peranti berkenaan di bawah lesen penjualan barangan elektronik.
"Sebenarnya lesen vape ini tidak dikeluarkan cuma sekarang ada lesen di bawah penjualan barangan elektronik. Saya mendapati ada pengusaha-pengusaha yang mengambil kesempatan menjual vape di bawah urusan penjualan barangan elektronik."
"Jadi saya sudah bincang dengan pihak pengurusan DBKL sekiranya ada pengusaha yang meletakkan vape di kedai mereka, kita akan bagi surat tunjuk sebab untuk berhentikan penjualan berbentuk vape dalam gerai premis masing-masing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang didapati menyalahgunakan lesen penjualan barangan elektronik dengan menjual vape di premis mereka.
"Bagi mereka yang salah guna lesen penjualan elektronik kita akan beri surat kalau ingkar dan saya akan berbincang dengan DBKL untuk tindakan apa yang sesuai untuk mengeluarkan vape dari premis mereka," katanya.
Ketika ditanya sama ada langkah DBKL itu merupakan langkah awal untuk mengikut keputusan negeri Kelantan dan Johor yang mengharamkan perniagaan vape bermula 1 Januari depan, Ibrahim menjawab, keputusan berkenaan adalah langkah DBKL sendiri untuk membendung gejala tidak sihat.