DBKL sudah memulakan kerja pembaikan

Aizat Sharif
Disember 31, 2012 09:38 MYT
Kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa Jumaat lepas bukan sahaja telah menjejaskan aktiviti seharian penduduk yang tinggal di situ, malah ia juga telah menjejaskan aktiviti seharian penduduk yang tinggal di kawasan persekitaran.
Menurut penduduk yang tinggal di persekitaran, pergerakan mereka kini terbatas disebabkan kejadian tersebut kerana terdapat beberapa laluan utama ditutup dan ada juga diantara mereka berpindah ke rumah sanak-saudara mereka sebagai langkah keselamatan.
Oleh kerana itu, mereka menggesa pihak berkuasa terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempercepatkan proses pembaikan terhadap kawasan yang tejejas itu supaya mereka dapat pulang dan menjalani kehidupan mereka seperti sediakala.
Seorang penduduk Taman Setiawangsa, Lee Yue Swee, 52 berkata bahawa beliau menyedari dinding puncak berkenaan telah dibina 20 tahun yang lalu.
“Setiap tahun pada bulan Disember, hujan akan turun lebat dan mesti berlaku kejadian seperti ini. Saya berharap agar pihak DBKL dapat menguruskan kerja-kerja membaik pulih secepat mungkin kerana sesi persekolahan hampir bermula.
“Kalau boleh kami minta agar kerja-kerja ini dapat dipercepatkan supaya tidak menjadi masalah untuk orang ramai pergi ke sekolah dan kerja," kata Swee.
Gurdish Kaur, yang juga penghuni kawasan Taman Setiawangsa pula berkata bahawa beliau terpaksa berpindah ke rumah ibunya di Bangsar kerana rumahnya berada di kawasan yang berisiko.
“Apa yang berlaku malam itu agak menakutkan. Saya nampak bumbung rumah itu jatuh dahulu diikuti dengan bahagian yang lain," Gurdish berkata.
Manakala, ahli parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang juga merupakan mangsa kejadian tanah runtuh Puncak Setiawangsa itu berkata sebuah memorandum mengenai kejadian tanah runtuh itu akan dikemukakan kepade jemaah menteri sebelum hari Rabu minggu hadapan.
"Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan DBKL akan mengemukakan satu laporan kepada jemaah menteri daripada segi teknikal dan kebajikan untuk rakyat. Laporan atau memorandum ini perlu dihantar sebelum hari Rabu hadapan.
Ketua Pegawai Operasi Ikram Taufik Harun pula berkata, kemungkinan besar rumah Zulhasnan dan rumah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis mungkin akan dirobohkan jika perlu demi keselamatan penduduk di situ.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar memberi jaminan kepada penduduk bahawa pihak polis telah dikerah untuk mengawal pergerakan keluar masuk di kawasan itu untuk mengelakan adanya individu-individu yang tidak berkenaan cuba memasuki kawasan berisiko tinggi itu.
“Beberapa penduduk di Puncak Setiawangsa yang tidak terjejas akibat tanah runtuh itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Namun, hanya penduduk di kawasan yang tidak terjejas sahaja yang dibenarkan untuk pulang ke rumah mereka,” kata Othman.
Kerja-kerja perobohan rumah banglo yang rosak teruk akibat kejadian itu turut giat dijalankan dan dijangka mengambil masa beberapa hari untuk selesai sepenuhnya.
#DBKL #Setiawangsa #tanah runtuh