DBKL peruntuk RM700,000 naik taraf jalan raya sekitar Setiawangsa

Bernama
Mac 17, 2017 14:43 MYT
Datuk Ahmad Fauzi Zahari mendengar penerangan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika meninjau kerosakan Jalan Bukit Setiawangsa hari ini. --fotoBERNAMA
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di sekitar kawasan Parlimen Setiawangsa, di sini.
Anggota Parlimennya Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata ia dilaksanakan bagi menjamin keselamatan serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
"Projek ini lebih menumpukan membaik pulih jalan raya yang rosak seperti berlubang dan permukaan tidak rata.
"Pelaksanaan ini adalah fasa pertama, kami akan teruskan pemantauan bagi mengenal pasti jalan yang perlu dinaik taraf secara berskala," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Jalan Bukit Setiawangsa hari ini.
Ahmad Fauzi berkata projek naik taraf itu melibatkan 26 lokasi antaranya Jalan Setiawangsa 10, Bulatan Duke (AU3), Jalan Rejang 4 dan Lorong Ayer Keroh.
"Kami akan sentiasa bekerjasama dengan DBKL dan jabatan lain dalam mempercepatkan urusan mengatasi masalah rakyat seperti ini," katanya dan menambah kerja-kerja pembaikan itu akan bermula malam ini dan dijangka siap pada hujung bulan ini. -- BERNAMA
#Ahmad Fauzi Zahari #DBKL #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #Parlimen Setiawangsa
;