DBKL perlu kaji semula pengasas sebenar Kuala Lumpur - Ahmad Phesal

Bernama
Oktober 1, 2018 20:51 MYT
DBKL sebelum ini tidak mempunyai maklumat yang kukuh untuk mengesahkan Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur, tetapi dengan adanya buku baharu itu, DBKL kini mempunyai lebih maklumat untuk membuat keputusan. - Gambar hiasan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menjalankan kajian semula sejarah pembukaan Kuala Lumpur berikutan maklumat-maklumat baharu yang ditemui.
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata penilaian itu perlu berikutan lahirnya buku baharu bertajuk 'Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur' oleh Abdur Razzaq Lubis yang mengemukakan beberapa fakta kukuh bahawa Sutan Puasa adalah pengasas Kuala Lumpur.
Perkara itu penting untuk dikaji memandangkan Sutan Puasa, seorang saudagar Mandailing, merupakan individu yang 'prominent' (berpengaruh) ketika itu, dan ini bercanggah dengan sejarah Malaysia menyebut Kapitan Cina yang ketiga Yap Ah Loy adalah pengasas Kuala Lumpur, katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi bicara ilmu bersama Abdur Razzaq tentang buku tersebut di sini pada Isnin.
Beliau berkata DBKL sebelum ini tidak mempunyai maklumat yang kukuh untuk mengesahkan Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur, tetapi dengan adanya buku ini, DBKL kini mempunyai lebih maklumat untuk membuat keputusan.
"Kajian yang lebih teliti itu (akan tentukan) sama ada apa yang kita (pernah) tegaskan dulu itu betul atau sebaliknya dan melalui fakta baharu yang ada, penelitian memang perlu dibuat," katanya.
Buku setebal 615 muka surat itu mengemukakan maklumat-maklumat baru mengenai pembukaan Kuala Lumpur, yang disertai dengan dokumen berserta peta dan gambar lama.
Abdur Razzaq dalam buku itu turut membincangkan beberapa nama yang disebut sebagai pengasas Kuala Lumpur oleh pelbagai tokoh sejarah dan penulis tempatan termasuk Yap Ah Loy, Kapitan Cina pertama Hiu Siew dan Raja Abdullah, yang merupakan Orang Besar Jajahan Klang.
-- BERNAMA
#Abdur Razzaq Lubis #Ahmad Phesal Talib #Buku #DBKL #Hiu Siew #Kajian #Kuala Lumpur #maklumat baharu #Mandailing #pembukaan #pengasas #penulis #raja abdullah #sejarah #Sutan Puasa #tokoh sejarah #Yap Ah Loy