DBKL perlu ambil tindakan tegas penganjuran Havoc Food Festival - Nik Nazmi

Hasimi Muhamad
Januari 11, 2025 21:04 MYT
Jelas Nik Nazmi, kawasan tersebut tidak sesuai untuk penganjuran karnival seperti itu kerana ia padat dengan perumahan dan penduduk - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diharap dapat mengambil tindakan tegas ke atas penganjur Karnival Havoc Food Festival kerana tidak menghentikan penganjuran walaupun telah diarah berbuat demikian.
Tegas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, pihak penganjur perlu bertanggungjawab memandangkan permohonan untuk mengadakan karnival tersebut tidak diluluskan DBKL.
"Saya difahamkan sudah dua kali permohonannya ditolak oleh DBKL. Di peringkat DBKL, semalam saya difahamkan pentas utama telah disita pagi tadi, tetapi gerai-gerai difahamkan masih lagi ada penjualan.
"Sebelum ini di peringkat awal, saya berurusan dengan Datuk Bandar, dan Datuk Bandar juga berhubung untuk sebarang tindakan. Cuma saya juga sedang berhubung dengan DBKL sebab kita terima aduan lagi bahawa gerai-gerai itu beroperasi.
"Saya tidak salahkan (peniaga) gerai tetapi pihak penganjur yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku beliau berjudul 'Saving the Planet: Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond' di sini hari ini.
Jelas Nik Nazmi, kawasan tersebut tidak sesuai untuk penganjuran karnival seperti itu kerana ia padat dengan perumahan dan penduduk.
Beliau turut melahirkan rasal kesal kerana arahan untuk menghentikan penganjuran karnival itu seolah-olah tidak diendahkan.
"Kita tengok di media sosial pagi tadi masih lagi ada kemas kini, di mana yang dibatalkan adalah acara mewarna tetapi acara-acara lain masih ada kemas kini seolah-olah tiada apa (yang berlaku).
"Itu yang saya sedikit kesal dan saya faham, DBKL dan pejabat saya juga sudah turun ke tapak tersebut dan bertemu dengan pihak penganjur.
"Saya tak ada halangan jika ia dianjurkan di tempat yang sesuai. Tetapi tempat ini kena fikir fasal jiran, penduduk dan jika berlaku kecemasan seperti kebakaran," jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan penganjuran Karnival Havoc Food Festival yang diadakan di tempat letak kereta Sama Square di Setapak sejak 9 Januari dan dijangka tamat pada 12 Januari, diarah dihentikan bermula hari ini.
Sementara itu, semakan di laman Instagram Havoc Food Festival, pihak penganjur memaklumkan karnival tersebut akan berakhir pada tengah malam ini susulan arahan daripada DBKL.
#Karnival Havoc Food Festival #DBKL #Instagram #media sosial
;