DBKL mahu perkenal konsep baru perlindungan untuk gelandangan

Arfa Yunus
Jun 10, 2014 16:04 MYT
Golongan gelandangan hiasi sisi gelap ibu kota - Gambar fail
Sebuah pusat serbaguna akan dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan memberi tempat tinggal buat golongan gelandangan yang memenuhi persekitaran ibu kota Kuala Lumpur.
Dalam satu laporan oleh akhbar The Star, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata inisiatif ini bertujuan untuk mengumpul kesemua gelandangan yang berada di sekitar ibu kota ke satu tempat.
“Kami sedar terdapat pelbagai jenis gelandangan iaitu seperti penagih dadah, pendatang asing, warga emas yang ditinggalkan serta ibu tunggal. Terdapat juga mereka yang bekerja tetapi tidak mahu menghabiskan duit menyewa rumah. Oleh itu mereka memilih untuk tinggal di bawah jambatan," katanya.
Menurut Ahmad Phesal, cadangan tersebut dibincangkan susulan satu mesyuarat bersama pihak-pihak lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami sedang mengenal pasti kompleks yang sesuai. Kami telah membuat tinjauan ke beberapa bangunan di sekitar Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib,” kata Ahmad Phesal.
Katanya, NGO yang membekalkan makanan kepada gelandangan turut akan ditempatkan di pusat serbaguna tersebut bagi memastikan DBKL dapat menjalankan operasi pembersihan dengan lebih efektif.
“Kini, gelandangan yang menerima makanan daripada NGO ini membuang kotak makanan serta sisa makanan mereka merata tempat menjadikan proses pembersihan sukar,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pusat penjagaan kanak-kanak turut akan diwujudkan dalam bangunan tersebut bagi membantu ibu tunggal menjaga anak-anak mereka.
Pada 31 Mei lalu, AWANI745 memberi fokus kepada isu gelandangan yang dilihat tiada kesudahannya hingga kini selain mengadakan sesi perbincangan bagi mencari penyelesaian serta usaha yang dapat dilakukan bagi membantu golongan ini.
Tinjauan Astro AWANI turut mendapati sekitar 1,000 gelandangan menjadikan beberapa lokasi terbuka sekitar Kuala Lumpur sebagai tempat kediaman mereka saban malam.
#DBKL #gelandangan #pusat serbaguna
;