DBKL lancar sistem e-Penilaian dan Hartanah
Bernama
Januari 9, 2023 19:52 MYT
Januari 9, 2023 19:52 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan pertukaran nama pemilik atau alamat surat-menyurat bagi hartanah di ibu negara boleh dibuat secara dalam talian sepenuhnya melalui sistem e-Penilaian dan Hartanah DBKL mulai 1 April ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata sistem itu dibangunkan bertujuan untuk memudahkan pemilik melaksanakan perkhidmatan secara dalam talian dengan lebih mudah dan cepat.
"Pemohon hanya perlu mendaftar sebagai pengguna sistem, log masuk, kemas kini maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon serta perlu memuat naik lampiran dan hantar untuk proses kelulusan.
"Kelulusan adalah dalam tempoh sehari bekerja daripada penerimaan permohonan yang lengkap," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata sistem itu memudahkan orang awam berurusan dengan DBKL menerusi penggunaan jalur lebar dalam melakukan permohonan penukaran nama pemilik atau alamat surat menyurat cukai taksiran.
"Pemakluman ini penting bagi memastikan nama pemilik terkini didaftarkan sebagai pemilik baharu yang sah dan segala notis atau bil cukai taksiran akan dialamatkan kepada pemilik dengan berkesan dan tepat.
"Kegagalan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penjualan harta atau pindah milik boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ini katanya berdasarkan Seksyen 60 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan bahawa penjual atau pemberi milik dan pemberi atau penerima pindah milik wajib memaklumkan kepada PBT dalam tempoh tiga bulan selepas berlakunya penjualan harta atau pindah milik.
"Adalah menjadi matlamat DBKL untuk mengurangkan sehingga tiada lagi aktiviti permohonan secara fizikal dilakukan selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Mahadi berkata DBKL tidak bercadang menyemak semula taksiran kadar cukai hartanah di ibu negara.
Beliau berkata sebagai bandar raya yang matang, Kuala Lumpur mempunyai sistem yang mantap untuk menentukan kadar yang perlu dibayar oleh pemilik hartanah.
Pada 22 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan diskaun 30 peratus ke atas cukai taksiran untuk hartanah di bawah RM300,000 di Putrajaya mulai 1 Jan lepas, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 8,500 isi rumah.
-- BERNAMA