DBKL kaji sistem parkir pintar di tempat letak kereta terbuka

Bernama
Mac 16, 2022 20:26 MYT
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sistem berteraskan teknologi digital itu bakal diaplikasikan di 60,000 tempat letak kereta bahu jalan milik DBKL di ibu kota. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian terhadap sistem tempat letak kereta pintar menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai usaha menaik taraf kemudahan itu di ibu negara.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sistem berteraskan teknologi digital itu bakal diaplikasikan di 60,000 tempat letak kereta bahu jalan milik DBKL di ibu kota.
"Semua petak tempat letak kereta ini memerlukan sistem teknologi yang seragam, teratur dan berpusat sekali gus memudahkan pengguna terutamanya dalam soal masa dan bayaran.
"Saya percaya, sistem ini akan membantu mengatasi pelbagai masalah parkir selain soal ketirisan pendapatan DBKL, apabila ia diperkenalkan kelak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari ICT DBKL 2022 sempena sambutan Jubli Emas DBKL 2022, di sini hari ini.
Jalaluddin berkata DBKL perlu dinamik dan produktif dalam menguruskan isu perbandaran dengan memperkasakan penyampaian perkhidmatan terutamanya yang berteraskan teknologi digital.
Hari ICT DBKL 2022 berlangsung selama tiga hari bermula semalam bertemakan 'Smart City Towards Green Technology and Revolution' yang meletakkan fokus utama kepada manusia, proses, teknologi dan data.
Antara program dan aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan Hackathon dan e-Sport Games, reruai (booth) pameran seperti Touch N Go, Celcom, Telekom Malaysia, Huawei, Mimos dan Tenaga Nasional Berhad serta program berbentuk ilmiah seperti ICT Talk.
-- BERNAMA
#DBKL #parkir pintar #tempat letak kereta #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #jalaluddin alias #Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan
;