DBKL kaji semula kadar lesen perniagaan di ibu kota

Bernama
Disember 9, 2014 04:26 MYT
PHESAL: DBKL akan menghadapi masalah untuk menaikkan kadar lesen kerana ia akan disalah tafsir dan DBKL akan disifatkan menindas golongan penjaja. - Gambar fail
Dalam usaha membanteras kegiatan rakyat tempatan yang memajak lesen perniagaan di Jalan Petaling kepada warga asing, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan kajian semula kadar lesen berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata langkah itu bertujuan mengkaji semula margin antara kadar sewa yang ditetapkan DBKL dengan anggaran pendapatan yang mampu diraih peniaga berkenaan.
"Mungkin sewa yang rendah menyebabkan margin antara sewa dan potensi pendapatan yang mereka (peniaga) dapat agak berbeza. Contohnya kalau mereka bayar sewa RM120 tetapi mereka mungkin dapat RM3,000, sebab itu mereka sewakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya akan menghadapi masalah untuk menaikkan kadar lesen kerana ia akan disalah tafsir dan DBKL akan disifatkan menindas golongan penjaja.
"Tetapi jika kita biarkan kadar lesen yang murah, keadaan akan menjadi bertambah teruk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan bersama agensi sempena sambutan Hari Penguatkuasa ke-45 di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.
Jalan Petaling adalah sebuah pusat penjaja pasar malam yang menjual pelbagai barangan dan kini dibanjiri peniaga warga asing.
Pada Ahad, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan segelintir pemilik lesen perniagaan di Jalan Petaling yang meraih pendapatan sehingga mencecah RM8,000 hingga RM9,000 sebulan dengan menyewakan lesennya kepada warga asing.
#Ahmad Phesal Talib #DBKL #Kadar lesen #penjaja #Petaling Street #Tengku Adnan Tengku Mansor