DBKL, Imigresen gempur peniaga warga asing di Plaza Low Yat
Astro Awani
Mac 10, 2021 06:50 MYT
Mac 10, 2021 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Peniaga warga asing diserbu dalam operasi bersepadu khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen (JIM) di Plaza Low Yat, di sini, pada Rabu.
Dalam operasi itu, seramai 16 warga negara asing dari Bangladesh, Pakistan dan India ditahan termasuk pengendali premis oleh pihak DBKL untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut oleh JIM.
Sebanyak 10 premis dikenal pasti menggunakan khidmat pekerja asing tanpa kebenaran sah.
Tindakan penutupan ke atas tiga premis dilaksanakan di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Selain itu, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis kerana menggajikan pekerja tanpa kebenaran yang sah di bawah UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan Dan Tred 2016.
"Turut dikeluarkan adalah tiga notis kompaun di bawah UUK 3(1), undang-undang yang sama kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen," menurut kenyataan pada Rabu.
Operasi bersepadu bersama agensi berkaitan itu juga akan diteruskan dari masa ke masa.
Warga kota turut dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak DBKL secara dalam talian di ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.
#DBKL
#Imigresen
#peniaga warga asing
#Plaza Low Yat
#pekerja asing
#tanpa kebenaran
#tindakan penutupan
#menggaji pekerja tanpa kebenaran yang sah