DBKL diarah perkukuh kerjasama dengan pakar geologi, infrastruktur untuk kurangkan risiko
Bernama
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarah untuk segera menjalin kerjasama secara dekat dengan pakar geologi dan infrastruktur bagi menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden tanah mendap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau berkomunikasi dari semasa ke semasa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif untuk mengenal pasti tindakan segera yang dilaksanakan dan strategi jangka panjang.
"Pihak Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL juga akan memperkukuh prosedur operasi standard pembangunan dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu permohonan kelulusan perancangan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata beliau juga berkomunikasi dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat wanita negara itu yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lepas.
"Semua pihak perlu kekal tenang. Keutamaan kami sekarang adalah keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga Kuala Lumpur. Saya juga komited untuk menangani isu ini secara lebih serius.
"Beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini merupakan satu ruang untuk semua pihak termasuk DBKL meneliti dan menambah baik kaedah pemantauan serta tindak balas kepada insiden seperti ini," katanya.
-- BERNAMA