DBKL, Bomba laksana operasi sanitasi di ibu negara
Bernama
Oktober 17, 2020 12:35 MYT
Oktober 17, 2020 12:35 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 80 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBPMWPKL) hari ini menjalankan proses sanitasi awam di ibu negara bagi bantu mengekang penularan COVID-19.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata kawasan tumpuan utama adalah di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Jalan Bukit Nenas, Jalan Petaling dan Pasar Seni.
"Tujuan utamanya adalah untuk memastikan lokasi ini bersih kerana ia adalah kawasan yang menjadi tumpuan awam selain menjadi tempat persinggahan gelandangan.
"Kami memilih melakukan operasi pada hujung minggu disebabkan keadaan jalan yang lengang seterusnya membolehkan operasi berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Operasi Sanitasi Awam C19, di sini, hari ini.
Mahadi berkata operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bandar raya ini terjamin dari segi kebersihannya dan seterusnya membantu mengurangkan mangsa pandemik ini.
"Jika boleh, kita mahu Kuala Lumpur bebas daripada wabak COVID-19 dan proses sanitasi ini juga merupakan satu pembudayaan dalam norma baharu dan ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.
Pada masa sama, Mahadi menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi membantu menyekat penularan COVID-19.
-- BERNAMA