DBKL benarkan aktiviti busking di dalam premis
Bernama
Mac 2, 2021 21:20 MYT
Mac 2, 2021 21:20 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti busking atau pemuzik jalanan di sekitar ibu negara kini dibenarkan, demikian menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam kenyataannya berkata aktiviti itu boleh dijalankan bermula 3 petang hingga 9 malam dengan maksimum tiga sesi sejak 26 Feb lepas.
Menurut DBKL, kebenaran itu hanya untuk aktiviti busking di dalam premis seperti pusat beli-belah, medan selera dan restoran, serta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
"Pemuzik diwajibkan memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali penyanyi, dengan satu kumpulan maksimum tiga orang ahli, selain memastikan penjarakan fizikal satu meter.
"Penonton tidak dibenarkan melibatkan diri dalam persembahan, berswafoto atau mengambil foto secara bersama dengan buskers dan kutipan hanya dibenarkan kaedah tip box atau potter diletakkan satu meter dari busker dan kaedah QR Code juga digalakkan," demikian menurut kenyataan itu.
DBKL menegaskan bagi pemuzik yang ingin menggunakan premis tersebut, mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu manakala kapasiti penonton bergantung kepada keluasan kawasan persembahan mengikut kebenaran MKN.
Selain itu, DBKL dalam perancangan untuk menyediakan lebih banyak ruang untuk pemuzik berkenaan menerusi penggunaan premis seperti di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan medan selera di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan bagi membantu menjana pendapatan mereka.
Sementara itu, Presiden Kelab Malaysia Busker (MYBC) Wady Hamdan berkata melalui kebenaran tersebut, pemuzik jalanan mampu kembali mencari rezeki sekalipun pendapatan yang bakal diperoleh dijangka tidak banyak.
"Kami bersyukur dengan pengumuman itu kerana ada pemuzik jalanan terpaksa mencari pekerjaan lain selain menjual alatan muzik bagi menampung keperluan harian," katanya.
-- BERNAMA
#SOP
#DBKL
#Majlis Keselamatan Negara
#Kuala Lumpur
#presiden
#keselamatan
#operasi
#Malaysia
#pelitup muka
#busking