DBKL benar jual makanan dari pukul 11 pagi sepanjang Ramadan
Wan Syamsul Amly
Julai 7, 2014 14:45 MYT
Julai 7, 2014 14:45 MYT
Permit perniagaan termasuk makanan sepanjang bulan Ramadan di sekitar ibu kota dibenarkan bermula dari pukul 11 pagi sehingga 12 tengah malam.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBK), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz bagaimanapun berkata, isu penjualan makanan kepada individu ponteng puasa biasanya tidak timbul kerana kebanyakan penjual makanan hanya membuka premis selepas pukul 2 petang.
"Seperti di kawasan Masjid India, hanya 34 daripada lebih 500 premis yang menjual makanan ada di sana.
"Saya sendiri membuat pemantauan di beberapa kawasan dan mendapati penjual makanan hanya akan mula beroperasi pada sebelah petang," katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini.
Mhd. Amin mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meminta pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam terhadap premis yang menjual makanan sebelum pukul 3 petang pada bulan Ramadan.
Jamil Khir berkata, selain mengelak pemilik premis perniagaan yang menjual makanan kepada individu ponteng puasa tanpa alasan kukuh, ia dilihat sikap peniaga sendiri yang mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda pada bulan Ramadan.
Tambah Mhd. Amin, penyelarasan waktu perniagaan itu juga sudah dimaklumkan kepada semua pemilik premis sebelum bulan Ramadan lagi.
Antara kesalahan bagi pemilik premis di bawah kelolaan DBKL adalah menggunakan pembantu warga negara asing, tidak menjaga kebersihan tapak, premis yang mengganggu lalu lintas dan siar kaki, tidak mematuhi syarat saiz, jenis perniagaan dan waktu perniagaan serta tidal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.