DBKL bakal adakan bancian khas ke atas penghuni PPR

T K Letchumy Tamboo
Disember 11, 2013 17:54 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mengadakan program bancian khas ke atas penghuni-penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sedia ada bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar layak tinggal di kemudahan tersebut.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk J. Loga Balan Mohan berkata ini adalah untuk mengatasi masalah kekurangan jumlah unit perumahan untuk menampung jumlah pemohon yang semakin meningkat.
Loga Balan turut berkata untuk tujuan itu, pihak DBKL akan melantik sebuah badan bebas.
“Badan bebas ini akan memastikan syarat-syarat kelayakkan yang telah ditetapkan mengikut prosedur lanjut kawasan sewaan perumahan DBKL,” katanya semasa menjawab sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Loga Balan berkata sehingga Oktober 2013, terdapat sebanyak 45,811 pemohon yang layak untuk dipertimbangkan bagi peruntukan unit sewa perumahan awam.
“Pada masa ini, DBKL menggunapakai sistem merit dan angka giliran memandangkan jumlah unit sewa adalah terhad.
“Sebagai penambahbaikan, DBKL akan membuat penilaian semula terhadap sistem merit dan angka giliran.
“Pada masa yang sama, DBKL masih dalam peringkat cadangan untuk melaksanakan sistem perundian bagi memastikan kaedah peruntukkan perumahan dibuat secara telus dan adil,” katanya.
Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan dari Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang bertanya apakah rancangan kerajaan untuk menampung permohonan perumahan untuk golongan orang perpendapatan sederhana dan miskin, Loga Balan berkata kementerian telah bercadang untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
“Perkara ini dalam rancangan dan sedang disusun supaya dapat dilaksanakan,” tambahnya.
#banci #DBKL #Joga balan #PPR #sewa
;