DBKL arah tutup premis makanan kotor, jijik

Afiezy Azaman
Mac 8, 2024 11:20 MYT
Keadaan dapur sebuah restoran yang diarah tutup oleh DBKL pada Khamis. - Gambar/ DBKL
KUALA LUMPUR: Kotor dan menjijikkan. Itulah yang dapat digambarkan mengenai keadaan sebuah premis makanan yang diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada Khamis.
Berdasarkan pemeriksaan mengejut itu, premis terbabit dipercayai tidak mematuhi beberapa peraturan membabitkan penyediaan dan sajian makanan termasuk lantai dapur serta stor kotor selain sampah tidak diurus dengan baik.
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, penutupan premis itu dibuat dalam Operasi Sepadu Bersih yang dijalankan di sekitar Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bukit Bintang.
"Operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 63 buah premis namun hanya 53 yang diperiksa manakala selebihnya tidak beroperasi.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.
"Selain itu, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata DBKL, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan.
Sehubungan itu, DBKL bertekad untuk meneruskan tindakan seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.
#DBKL #premis makanan #kedai makan kotor #operasi bersepadu
;