DBKL anjur Konsert Chamber Kuala Lumpur 2023 di Panggung Bandaraya
Bernama
Ogos 2, 2023 15:04 MYT
Ogos 2, 2023 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Warga kota dijemput menyaksikan Konsert Chamber Kuala Lumpur 2023 secara percuma di Panggung Bandaraya, Jalan Raja di sini, pada 8 Ogos ini bermula pukul 8.30 malam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan konsert yang sama akan turut diadakan pada 19 Sept dan 7 Nov depan.
"Warga kota akan dipersembahkan dengan lagu-lagu klasik seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Getaran Jiwa dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti. Selain itu turut dipersembahkan alunan muzik daripada Beethoven seperti Septet in E Flat Major, Op 20, Debussy Reverie, Ibert Escales, Hisaishi dan Spirited Away," menurut kenyataan itu.
Kesemua persembahan menampilkan pelbagai kumpulan orkestra profesional di Kuala Lumpur seperti Orkestra Kuala Lumpur DBKL, Orkestra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya dan Orkestra Filharmonik Malaysia, Dewan Filharmonik Petronas.
"Penonton disarankan hadir dengan menaiki pengangkutan awam dan tempat letak kereta berbayar juga tersedia di bawah Dataran Merdeka," katanya.
Warga kota yang berminat untuk menyaksikan konsert ini, boleh mendaftar di https://tinyurl.com/2k7b5237 atau e-melkan kepada Isabella Pek di isabella@dbkl.gov.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA