DBKL ambil tindakan segera masalah Residensi SkyAwani 2 - Datuk Bandar
Firdaus Azil
Mei 19, 2022 15:10 MYT
Mei 19, 2022 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mencari jalan penyelesaian segera bagi menangani permasalahan yang dialami penduduk di Residensi SkyAwani 2, Sentul, yang telah berlarutan sekian lama.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya mengenal pasti dua masalah utama residensi berkenaan ialah – tekanan air rendah, selain kegagalan pemaju mewujudkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sejak dua tahun lepas.
Jelasnya lagi, beliau telah berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan tindakan segera akan diambil bagi melihat punca masalah air dahulu.
“Kita diberitahu kawasan rumah ini ada masalah tekanan air rendah. Ada rumah duduk di tingkat atas agaknya tak dapat bekalan air cukup. Jadi kita dah bincang dengan Menteri, kita buat ketetapan untuk tindakan segera, selesaikan masalah air dulu.
“DBKL akan menghantar pegawai sebentar lagi (hari ini), untuk kenal pasti punca sebenar masalah tekanan air rendah, kalau perlu, Bandaraya akan susuli dengan bantuan seperti menyediakan kemudahan pam untuk pam air, dan salurkan air yang kita pam tadi ke setiap unit terlibat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Aidilfitri anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan di Cheras, hari ini.
Turut menghadiri majlis tersebut selain Shahidan, ialah Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, serta pegawai kanan KWP dan DBKL.
Media sebelum ini melaporkan kegagalan pengurusan SkyAwani 2 mewujudkan JMB telah mengakibatkan permasalahan bagi penduduk setempat seperti tekanan air rendah, lif yang tidak beroperasi dengan sempurna, serta rumah sampah yang tidak mencukupi.
Selain itu, penduduk setempat mendakwa pengurusan akaun kewangan residensi tersebut juga telah menyusut kepada hanya RM169 dalam tempoh dua tahun.
Mengulas mengenai isu JMB tersebut, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, pihak DBKL akan melantik ejen pengurusan untuk mengganti pemaju jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Kalau perlu kita boleh lantik ejen pengurusan untuk ganti pemaju, kalau perlu. Jadi kita tengok dan kaji dulu dari segi itu. Saya beri jaminan saya akan cuba selesaikan seberapa masalah. Dan kalau kita dah lantik ejen pengurusan, mereka berhak untuk audit akaun dan sebagainya, tapi kita tengok dulu setakat mana keperluan dan sebagainya.
“Dari segi peruntukan akta sedia ada, pihak pemaju perlu tubuhkan JMB dalam tempoh setahun daripada tempoh CF (sijil perakuan kelayakan) dikeluarkan. Kita akan tengok dia tak comply atau tidak, kita akan buat tindakan selanjutnya,” katanya lagi.