DBKL akan naikkan kadar kompaun kebersihan Jun depan

Azyyati Ahmad
Disember 19, 2015 18:26 MYT
Dr Loga ditemui pemberita selepas mengetuai operasi Anti Litter di sekitar jalan-jalan utama Brickfield pada Sabtu.. - Foto DBKL
Demi meningkatkan kesedaran orang awam dan pemilik premis makanan tentang pentingnya persekitaran yang bersih, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menaikkan kadar kompaun kebersihan mengikut jenis kesalahan mulai Jun tahun depan.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, hukuman sedia ada terlalu ringan menyebabkan banyak pemilik premis makanan dan orang awam mudah mengulangi kesalahan yang sama.
Kata Dr Loga, ketika ini DBKL mengenakan kompaun serendah RM50 bagi kesalahan seperti membuang puntung rokok di tempat awam, membuang sisa makanan ke dalam longkang, kenderaan dan lori yang mengotorkan jalan dan meludah di tempat awam.
Manakala, penutupan maksimum 14 hari bagi premis makanan yang tidak menjaga kebersihan persekitaran.
“Keputusan akhir akan sedang dibuat. Pengumuman mengenai kenaikan itu akan diumumkan sekitar Jun tahun depan,” kata Dr Loga yang ditemui selepas mengetuai operasi Anti Litter di sekitar jalan-jalan utama Brickfield pada Sabtu.
Sebanyak 28 kompaun kebersihan dikeluarkan dan satu premis ditutup dalam operasi tersebut yang dijalankan bermula 11:30 pagi hingga 2 petang.
Sepanjang tahun 2015, DBKL telah mengeluarkan sebanyak 2,764 kompaun dan dari jumlah itu, 99 daripadanya masih belum dibayar.
#DBKL #Dr Loga Bala Mohan #kompaun #Timbalan Menteri
;