DBKL adakan 6 sesi libat urus bagi pindaan draf PSKL2040
Bernama
April 18, 2023 18:10 MYT
April 18, 2023 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan enam sesi libat urus pindaan draf Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL2040) bersama orang awam dan pihak berkepentingan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata kesemua enam sesi itu ditetapkan pada 18, 19, 23, 24, 25 dan 26 Mei bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Dewan Megapuri Tingkat 30, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini.
"Dialu-alukan semua orang awam dan pihak berkepentingan yang berminat untuk menyertai sesi libat urus ini mendaftar di pautan https://t.ly/Rv8qT sebelum atau pada 13 Mei ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sesi libat urus yang diadakan itu adalah selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penangguhan proses pewartaan Draf PSKL2040 sehingga 31 Mei 2023.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan pewartaan PSKL2040 akan ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi bagi memberi penjelasan di samping mendapatkan maklum balas sewajarnya.
-- BERNAMA