'Dayung H'muai Semban' kini tinggal berempat
Rudi Affendi Khalik
Disember 18, 2022 18:44 MYT
Disember 18, 2022 18:44 MYT
KUCHING: Mereka antara sedikitnya wanita yang kental mempertahankan tradisi lama etnik Bi'embhan.
Bersarung gelung tembaga di lengan dan betis bukan perkara mudah.
Apatah lagi dilakukan sejak berusia sunti, sekitar 10 tahun.
Namun mereka cekal mengamalkannya, kerana bersetuju dengan kepercayaan, penggunaan gegelung tersebut hanya untuk insan terpilih; sebagai simbol kecantikan dan darjat.
Jika pada tahun 2015, mereka ada lapan orang, namun pada Jumaat lalu, jumlahnya susut kepada empat orang sahaja.
Merekalah wanita Bidayuh terakhir yang bergelar "Dayung Hmuai Semban" atau Wanita Gelung.
Jumaat lalu, Nyadi Dolah, 92 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Kawasan Penempatan Semula Bengoh.
Hari ini jasadnya disemadikan dengan tangis sedih, kerana mendiang pergi bersama pengalaman dan tradisi berharga.
Atas faktor kesihatan, Nyadi membuka gegelung tersebut pada 2019, namun pada masa yang sama, sehingga akhir hayatnya, beliau menaruh harapan tinggi agar ada daripada enam anak, 21 cucu dan 25 cicitnya dapat mewarisi tradisi yang ditelan zaman itu. Impian itu bagaimanapun sekadar hidup di hati kecilnya.
Hidup sebagai Dayung Hmuai Semban memerlukan individu terlibat menyarung Tuyank'ng dan Rasunk'ng
.
Rayank'ng dan Rasunk'ng merupakan gegelung tembaga, yang digunakan pada lengan dan betis pemakainya sejak kecil.
Gegelung ini merupakan lambang kemegahan wanita Bidayuh di sini dan menjadi sebahagian daripada hiasan harian,
Mereka tidak dibenarkan menanggalkan gegelung ini apabila melakukan rutin harian.
Beberapa pengkaji sebelum ini mengaitkan tradisi unik ini dengan sejarah pedagang China yang mengembara membawa tembaga ke Borneo. Dan ia menjangkau ribuan tahun.
Dari segi pemakaian, peralatan tradisi yang digunakan mereka dikenali sebagai Bulang Sepi (hiasan kepala); Tumbih (rantai); Sisink'ng dan Wi (hiasan pinggang); Baju Putang; dan Jemuh Sulam (kain sarung).
Dengan kematian Nyadi, baki empat wanita yang masih kental meneruskan tradisi ini ialah Nyukan Genyai, Peluk Abeh, Tawud Luhan dan Singai Nekan.
Seorang lagi rakan mereka, Ranyu Daiee terlebih dahulu meninggal dunia pada Oktober 2020, ketika berusia 83 tahun.
Merekalah pewaris terakhir, justeru tidak hairanlah imej mereka diabadikan pada mural setinggi 13.7m x 36.5m, yang dihasilkan pelukis jalanan terkemuka Kuching, Leonard Siaw.
Dan tidak hairanlah juga mereka diangkat untuk mewakili Malaysia ke festival antarabangsa Lo Spirito Del Pianeta, sebuah festival antarabangsa orang asal dan puak di Milan, Itali pada 2016.