Dayak Malaysia, Dayak Indonesia keturunan yang sama, kata pembaca

Astro Awani
Oktober 10, 2014 10:28 MYT
Tarian Ngajat yang menjadi foto latar belakang di erai pameran Malaysia di Pesta Buku Frankfurt 2014 (Foto: ITBM)
Orang ramai menyifatkan tuduhan media di Indonesia bahawa Malaysia 'mencuri' tarian suku Dayak di Kalimantan serta menggunakan moto republik itu pada latar belakang gerai pameran di Pesta Buku Frankfurt sebagai dakwaan yang sengaja diada-adakan tanpa memahami realiti sebenar masyarakat, budaya dan geografi.
Majoriti pembaca yang memberikan komentar di akaun Facebook Astro AWANI berpendapat tidak timbul unsur tiru-meniru kerana orang Dayak di Borneo berkongsi kebudayaan yang sama biarpun terpisah sempadan negara.
“Kami orang Iban kategori Dayak tinggal di Sarawak, di Kalimantan pun ada Dayak Iban, begitu juga di Borneo. Tak ada istilah siapa curi siapa kerana kami dari keturunan yang sama,” kata Jennifer G Ussan yang menerima 19 balasan dari pembaca lain yang turut bersetuju dengan apa yang dikomennya.
“Tarian Ngajat bagi kaum Iban Dayak memang ada di Kalimantan, Indonesia serta Sarawak dan Sabah. Secara amnya tarian Ngajat adalah tarian tradisional Iban Dayak di Borneo,” komen Muhdadam Adamiskandar.
“Tahu tak, Iban di Kalimantan, Indonesia sama dengan Iban di Sarawak, kaum Bidayuh di Sarawak sama dengan Bidayuh di Kalimantan, manakala orang Ulu di Sarawak sama dengan orang Ulu Kalimantan.
Kami bersaudara, kami berkongsi sempadan, kami berkongsi bahasa, kami berkongsi budaya dan kesenian. Jadi sentimen negatif tidak wujud dalam masyarakat Dayak Sarawak dan Dayak Indonesia. Kami hidup aman dan damai. Provokasi diwujudkan oleh manusia rakus dari pulau lain selain Borneo. Kekayaan dan nikmat keamanan amat dihargai, malah kami tahu kami serumpun. Kami tak perlukan unsur-unsur negatif di sini,” kata Peter Gunner.
“Di Indonesia dan Malaysia masing-masing ada kaum Dayak. Saya salah seorang dari kaum Dayak mengaku ada persamaan tarian disebabkan kami berasal dari rumpun yang sama iaitu kepulauan Borneo. Jadi apa yang nak dipertikaikan. I'm proud to be Dayak Malaysia,” komen Cdiks J Markovic.
Tarian Ngajat dari suku kaum Dayak - Gambar Fail
“Hanya mainan media. Abaikan. Kami Dayak tetap sama, pada identiti, kebudayaan dan genetiknya. Tidak kisah di mana bumi dipijak, kami adalah satu. Mungkin Dayak itu ada di segenap negara di dunia ini, tapi jangan pula timbul anggapan kebudayaan Dayak itu dimiliki oleh sesebuah negara, kerana ianya tidak.
Ianya milik kami bangsa Dayak. Bilangan Dayak di Kalimantan lebih ramai daripada di Sarawak. Yakni, yang di Sarawak itu migrasi daripada Kalimantan Barat. Ianya terangkum dalam satu tempat asal iaitu, Pulau Borneo,” kata Mos Rengie.
“Di Kalimantan ada satu suku kaum Dayak yang dipanggil Kantu. Iban dengan Kantu ini dahulunya adalah musuh. Kantu ini dikatakan ganas. Jadi Iban pun membalas serangan dari Kantu.
Apabila sudah menang, kaum wanita Iban menarikan tarian Ngajat sebagai menyambut kepulangan wira mereka dari perang. Jadi adakah tarian ini milik Indonesia?
Masyarakat Kantu sendiri pun ada tariannya sendiri. Jadi mengakui hak itu sepatutnya tak berlaku kerana ianya tak relevan,” kata Jessy Tambi.
Tidak kurang juga beberapa rakyat Indonesia yang menyelar laporan berita dari portal tersebut.
“Mohon maaf, kami di Indonesia pun banyak mengkritik pemberitaan tersebut. Sila kunjungi FB Beritasatu yang juga membuat laporan tersebut,” kata Yosua Desandro.
“Saya orang Indonesia, kami dari Sumatera tidak pernah mempermasalahkan budaya itu dan ini, sebab kami sedar bahawa Indonesia dan Malaysia itu sebangsa dan serumpun, ini hanya ulah (kerenah) media Indonesia yang selalu mengalihkan perhatian rakyat Indonesia dari masalah negara yang tengah hangat diperbincangkan di media Indonesia,” komen Zulhamdi Syamsul Azhar
Astro AWANI pada Khamis memetik laporan portal berita Suara Pembaharuan yang menyatakan bahawa foto ‘Tarian Ngajat’ yang digunakan sebagai gambar latar belakang gerai pameran Malaysia di Pesta Buku Frankfurt 2014 adalah berasal dari suku kaum Dayak Indonesia.
Laporan itu juga menuduh slogan yang digunakan iaitu ‘Unity in Diversity’ adalah berasal dari moto bangsa Indonesia 'Bhinneka Tunggal Ika' yang membawa maksud yang sama iaitu 'berbeza-beza tetapi satu'.
#budaya #Dayak #Frankfurt Book Fair #Indonesia #Kalimantan #Malaysia #Pesta Buku Frankfurt #Sarawak
;