Daun, bunga pokok teruntum inspirasi reka bentuk anjung Menara Kuantan 188

Bernama
Februari 21, 2021 03:58 MYT
Menara Kuantan 188 menjadi mercu tanda baru di bandaraya Kuantan. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Daun dan bunga pokok Teruntum putih banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan suatu ketika dahulu, menjadi inspirasi kepada reka bentuk anjung Menara Kuantan 188, di sini, iaitu menara tinjau kedua tertinggi di Malaysia.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inspirasi itu juga menyebabkan menara tertinggi di Pantai Timur itu terlebih dahulu dinamakan sebagai Menara Teruntum sebelum ditukar kepada Menara Kuantan 188 bersempena ketinggiannya 188 meter (m).
Reka bentuk yang tegak dan profilnya yang tirus pula, menurut Wan Rosdy, adalah sebagai simbolik kepada persenjataan tradisional Melayu berupa hujung bilah lembing yang turut terdapat pada Jata Negeri.
"Menara Kuantan 188 dari puncak bangunannya menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, yang juga boleh menaiki lif kaca sehingga ke lantai pemerhatian pada ketinggian 92m untuk melihat pemandangan 360 darjah seluruh bandaraya Kuantan.
"Manakala aras tinjau terbuka pula membolehkan penggemar sukan lasak mencuba aktiviti seperti 'skywalk', pendakian tiang, serta terjunan berpandu atau 'guided fall'," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra di perkarangan menara itu di sini, malam tadi.
Majlis perasmian itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang menerusi rakaman video yang dimainkan di skrin televisyen.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah diwakili anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang turut diiringi kekanda dan adinda baginda.
Hadir sama Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat dan barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, Wan Rosdy yang menyifatkan perasmian 'dua dalam satu' itu sebagai pelengkap kepada peristiwa bersejarah Pahang, iaitu pemasyhuran bandar raya Kuantan pada Khamis, juga bakal merancakkan industri pelancongan di sini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Mengulas mengenai Jambatan Putra, Wan Rosdy berkata jambatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya itu siap pada September 2020 dan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan trafik di pusat bandar kerana menjadi alternatif dari Tanjung Lumpur atau Pekan ke pusat bandar dan Indera Mahkota.
Jambatan kedua yang merentangi Sungai Kuantan selepas Jambatan Tanjung Lumpur itu juga dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara 15 ke 30 minit dari Bandar Indera Mahkota dan Gambang ke Tanjung Lumpur.
-- BERNAMA
#daun #bunga pokok Teruntum #Menara Kuantan 188 #Sungai Kuantan #Wan Rosdy Wan Ismail #Menara Teruntum
;