Datuk Yusof Haslam lepaskan tembakan selepas rumahnya dipecah masuk

Astro Awani
Julai 7, 2014 13:32 MYT
Datuk Yusof Haslam terpaksa melepaskan temabakan menyedari rumahnya dipecah masuk dan menyebabkan suspek melarikan diri.
Menyedari rumahnya dipecah masuk, pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam melepaskan tembakan sebagai amaran sehingga menyebabkan perompak yang memasuki rumahnya melarikan diri.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi di kediamannya di Taman Melawati di sini, mangsa yang sedang menonton televisyen terdengar jeritan pembantu rumahnya yang berada di tingkat bawah rumahnya.
Yusof yang menyedari sesuatu yang buruk telah berlaku dalam rumahnya mencapai pistol jenis Glock yang berada berhampiran beliau dan melepaskan tiga das tembakan sehingga mengejutkan suspek yang dipercayai seramai tiga orang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata suspek yang terkejut dengan bunyi tembakan bergegas melarikan diri dan pemeriksaan keatas rumah tersebut mendapati sebuah bilik di tingkat empat itu telah dipecah dan digeledah.
“Suspek dipercayai memakai topeng dan pakaian serba hitam. Mereka juga tidak mengenakan sebarang sarung tangan,” kata Khairuldin.
Siasatan awal mendapati terdapat dua bilik dalam rumah itu telah digeledah dan suspek juga masuk ke dalam bilik pembantu rumah namun gagal melarikan apa-apa barang dari bilik tersebut kerana pembantu rumah yang ketika itu sedang tidur tiba-tiba terjaga kemudiannya menjerit meminta tolong.
“Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan rumah mangsa. Kerugian masih disiasat,”
Ketika kejadian, terdapat pengawal keselamatan yang mengawal rumah berkenaan namun tidak menyedari kejadian tersebut.
#pecah masuk #rumah #Yusof Haslam
;