Datuk Suboh mesti tahu tadbir urus korporat SRC - Najib

Wan Syamsul Amly
Disember 4, 2019 12:15 MYT
Najib menjelaskan tidak pernah melihat surat yang ditandatangani Suboh dan Nik Faisal yang melantik IPSB sebagai rakan kongsi CSR dan bersetuju untuk memberikan IPSB dengan pemberian geran sebanyak RM250 juta. - Gambar fail
Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC) Datuk Suboh Md Yassin seharusnya mengetahui prosedur-prosedur tadbir urus korporat yang terpakai dalam isu pelantikan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sukar untuk dipercayai apabila Suboh dikatakan tidak mengendahkan hal tersebut berdasarkan apa yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamal.
“Saya tidak pernah dimaklumkan berkenaan dengan perlantikan IPSB atau peruntukan dana sebanyak RM250 juta yang diberikan.
“Hakikatnya saya ingat bahawa pada tahun 2012, SRC hanya menyatakan niat untuk menjalankan kerja-kerja CSR apabila keuntungan dijana.
“Saya tidak pernah diberitahu berkenaan sama ada perkara yang sama ada dilakukan. Saya pasti tidak meluluskan hal ini melalui Nik Faisal,” katanya dalam keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Jelasnya, apa-apa kelulusan sama ada sebagai Menteri Kewangan atau Perdana Menteri hendaklah dilakukan secara bertulis dan hendaklah tertakluk kepada Lembaga Pengarah setelah diputuskan.
Suboh sebelum ini dilaporkan menyifatkan Nik Faisal mendapat sokongan individu berpengaruh, seolah-olah ‘ada gunung di belakangnya’.
Selain mendapat sokongan individu berpengaruh itu, Nik Faisal turut digambarkan sebagai CEO yang amat berkuasa dalam memainkan peranan mengatur perjalanan syarikat.
“Dia boleh ‘tenyeh’ kami macam itu saja...Baginya, kami sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC bukan sesiapa.
“Dia lagi berkuasa sebab ada orang di belakang dia, ‘ada gunung di belakang dia’. Hari itu saya hendak memberi penjelasan tetapi kamu (peguam) semua membantah,” kata Suboh sebelum ini.
Dalam pada itu, Najib menjelaskan tidak pernah melihat surat yang ditandatangani Suboh dan Nik Faisal yang melantik IPSB sebagai rakan kongsi CSR dan bersetuju untuk memberikan IPSB dengan pemberian geran sebanyak RM250 juta.
“Tidak. Saya tidak melihatnya. Saya maklum bahawa pada September 2014 Nik Faisal tidak lagi menjadi CEO SRC.
“Saya tidak faham bagaimana dua Pengarah SRC boleh menandatangani secara sendiri dokumen ini tanpa
kelulusan Lembaga Pengarah,” katanya.
#CEO #Ihsan Perdana Sdn Bhd #mahkamah #Najib Razak #Nik Faisal Ariff Kamal #pelantikan #Perdana Menteri #peruntukan dana #rakan kongsi CSR #SRC International #Suboh Md Yassin #tanggungjawab sosial korporat
;