Datuk Seri Vida menanti 'pinangan' KAFA
Harits Asyraf Hasnan
Januari 2, 2016 21:06 MYT
Januari 2, 2016 21:06 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida kini menanti 'pinangan' Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menjalin kerjasama strategik dengan pasukan Kelantan atau The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan musim akan datang.
Dalam temubual bersama Astro AWANI, Datuk Seri Vida berkata beliau ada berbual dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa di mana Annuar memberi respon positif hasil perbincangan itu.
"Sejujurnya memang ada perbincangan dilakukan menerusi Whatsapp bersama saya dengan Tan Sri (Annuar Musa) yang berada di Mekah sekarang.
"Tetapi secara rasminya kita kena tunggu apabila Tan Sri balik (ke Malaysia) dan bila betul-betul tandatangan kontrak nanti...tetapi boleh dikatakan perbincangan ini positif dan boleh mencapai apa yang saya cuba ajukan.
"Saya perlukan begitu sebab saya mahu berniaga dan saya nak membantu pada masa yang sama. Jadi saya hendak kedua-dua ini mencapai kemenangan masing-masing. Kiranya menunggu pinanganlah," katanya menerusi temubual dalam AWANI 7.45 hari ini.
Ditanya, mengapa warna merah jambu menjadi pilihannya, Datuk Seri Vida berkata beberapa pasukan di Eropah seperti kelab Sepanyol, Real Madrid turut menggunakan warna merah jambu sebagai warna jersi mereka.
Tambahnya, idea yang diberikannya itu dilihat mampu membawa satu anjakan kepada bukan sahaja kepada pasukan bola sepak Kelantan, malah industri sukan bola sepak negara.
"Sebenarnya kalau kita tak cuba, kita tak tahu. Sebenarnya warna pink membawa satu fenomena di Eropah dan saya tengok pemain-pemain Real Madrid pakai baju warna pink, sangat cantik, macho tengok Cristiano Ronaldo,(pemain nombor) 7 pakai baju warna pink.
"Jadi kita bawa satu anjakan kepada industri sukan negara...dan saya rasa boleh (Malaysia boleh) bangkit, boleh menyemarakkan lagi idea-idea saya bersama pasukan-pasukan kita dengan idea-idea baru yang boleh saya ketengahkan," katanya.