Datuk Seri Nicky Liow belum ditangkap - Polis Johor

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 24, 2021 13:58 MYT
Polis masih sedang mencari suspek yang disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta jenayah komersial.
JOHOR BAHRU: Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang dikehendaki polis, masih belum ditangkap.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menegaskan, berita yang tular di media sosial mengatakan sebaliknya, adalah tidak benar dan palsu.
"Polis Johor masih meneruskan usaha untuk mengesan suspek dengan kadar segera dan membawanya ke muka pengadilan.
"Pihak polis ingin menegaskan kepada orang ramai ramai agar tidak menularkan atau menyebarkan sebarang berita tidak benar, tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, Ayob Khan pada satu sidang media memaklumkan, Polis Johor sedang mencari lelaki berusia 33 tahun yang beralamat terakhir di Puchong, Selangor.
Suspek disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta jenayah komersial.
Lelaki itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan Kesalahan Kumpulan Jenayah Terancang.
Dua kertas siasatan berkaitan individu itu telah dibuka di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Empat tahun lalu, Liow pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Rela yang sedang bertugas di Perkarangan Tokong di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur.
#jenayah #suspek #siasatan #media sosial #polis #Puchong #Winner Dynasty Group #ayob khan mydin pitchay #dikehendaki polis #tangkap #Datuk Seri Nicky Liow #Datuk Seri Nicky #Liow Soon Hee #pengubahan wang haram #jenayah komersial
;