Datuk Seri Najib Tun Razak akui ada maklumat dalaman pada isu culik Sabah

Wan Syamsul Amly, Hilal Azmi
September 30, 2016 19:52 MYT
Perdana Menteri juga mengakui mustahil untuk Kerajaan meletakkan aset keselamatan pada setiap tempat dan ketika untuk mengawal sempadan - Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui terdapatnya maklumat orang dalaman pada isu penculikan di Sabah.
Perdana Menteri juga mengakui mustahil untuk Kerajaan meletakkan aset keselamatan pada setiap tempat dan ketika untuk mengawal sempadan.
"Mereka akan bertindak, mustahil bagi kita untuk meletakkan aset di setiap tempat dan setiap ketika.
"Saya rasa ia tamparan pada kita, apabila ada maklumat dalaman, amat sukar untuk kita kawal pesisiran yang amat luas," jelasnya.
Pada Rabu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, sekumpulan lelaki bersenjata menculik seorang pemilik kapal pukat tunda warga tempatan dan merompak anak-anak kapalnya berhampiran perairan Pulau Gaya, Semporna sebelum melakukan satu lagi rompakan di sebuah kapal nelayan di perairan Tungku, Lahad Datu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia menjalin kerjasama erat dengan Filipina dan Indonesia dalam menangani ancaman kumpulan militan Abu Sayyaf termasuk kes penculikan oleh kumpulan itu di Laut Sulu.
Jelasnya, melalui kerjasama itu, ketiga-tiga negara berjiran dapat menyelaraskan termasuk dari segi anggota tentera dan aset ketenteraan bagi membentuk sistem lebih efektif dalam menghadapi dan seterusnya menghapuskan ancaman tersebut.
#Abu Sayyaf #Culik Sabah #Lahad Datu #Najib Razak
;