'Datuk Seri' mengaku tidak bersalah cabul pekerja

Bernama
Mac 5, 2018 17:35 MYT
Seorang pekerja wanita mendakwa dicabul oleh majikannya yang bergelar 'Datuk Seri'. - Gambar hiasan
SEORANG ahli perniagaan terkemuka bergelar 'Datuk Seri' didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul kehormatan pekerjanya pada 22 Disember tahun lepas.
Datuk Seri Peter Kong mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu di sini hari ini.
Dia dakwa mencabul kehormatan wanita berusia 23 tahun itu di dalam restoran di hotelnya.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pegawai Pendakwa ASP Hasnan Abidin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Maijol Mahap.
Hasnan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin, bagaimanapun, majistret membenarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#Datuk Seri #Datuk Seri Peter Kong #gangguan seksual #Mahkamah Majistret #mencabul kehormatan #Pertuduhan #undang-undang
;