'Datuk Seri' kaki pukul positif dadah, gelaran disiasat polis
Astro Awani
November 1, 2017 15:57 MYT
November 1, 2017 15:57 MYT
Seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang mencederakan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baru-baru ini, disahkan positif dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, perkara itu diketahui melalui saringan ujian air kencing selain suspek juga pernah memiliki rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Malah menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan sekiranya suspek terlibat dalam jenayah-jenayah lain serta menyemak gelaran dan darjah yang dianugerahkan kepadanya.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan menunjukkan dia juga mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Polis akan menjalankan siasatan sekiranya suspek terlibat dalam kegiatan yang mungkin melanggar undang-undang termasuk menyemak gelaran Datuk Seri yang diterimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki terbabit.
Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki itu mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.
#anggota Rela
#Datuk Seri
#dipukul
#kaki pukul
#penyalahgunaan dadah
#positif dadah
#semak gelaran
#Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
#Timbalan Ketua Polis Negara