Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Pengarah Operasi PDRM untuk PRU15

Astro Awani
September 26, 2022 10:40 MYT
Datuk Seri Hazani Ghazali, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman. - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, dilantik Pengarah Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Perkara itu diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika berucap menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bulan September di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Katanya, beliau berharap PDRM akan menggunakan secara optimum jentera pasukan dengan perancangan strategik bagi memastikan situasi PRU15 nanti aman, selain pada masa sama, dapat menjalankan tugas hakiki iaitu mengekalkan keselamatan negara dengan baik.
"Saya amat percaya, di bawah Hazani, semua jabatan akan digerakkan secara strategik untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam bagi menghadapi pilihan raya," katanya.
Acryl Sani berkata, anggota polis yang akan bertugas pada PRU15 perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan menyeluruh mengenai bidang kuasa masing-masing bagi mengelak implikasi yang boleh mencabar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.
"Seperti mana kita semua sedia maklum, perkhabaran mengenai PRU15 bakal diadakan pada tarikh yang dikatakan semakin hampir, maka saya menyandarkan harapan yang tinggi kepada semua pegawai pemerintah dan kesemua petugas PRU15.
"Ini agar mereka sentiasa mengambil cakna dan memahami tanggungjawab masing-masing serta melengkapkan diri dengan pengetahuan menyeluruh mengenai bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Pilihan Raya 1954, dan lain-lain akta berkaitan, dalam kita melaksanakan tugas semasa PRU kelak," tambahnya.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, polis perlu menjalankan tugas dengan profesional demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.
"Dalam perkara ini saya telah mengeluarkan arahan bertarikh 14 Sept 2022 mengenai usaha-usaha memantapkan amalan kesantunan berbahasa dalam menyampaikan perkhidmatan PDRM yang perlu diberi perhatian.
"Sebagai pegawai polis, kita perlu bijak mengawal emosi, menjaga tutur kata dan mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi sepanjang menjalankan tugas terutama ketika berhadapan situasi bersifat provokasi," ujarnya.
Acryl Sani berkata, para petugas PDRM juga perlu telus menangani isu berkait mana-mana parti politik agar PDRM terus dilihat sebagai sebuah institusi kepolisan yang profesional.
#PRU15 #Acryl Sani Abdullah Sani #Hazani Ghazali #Pengarah Operasi PDRM PRU15
;