Datuk Seri G. Palanivel kekal Presiden MIC

Harris Hardy Hakim
September 1, 2013 18:39 MYT
Datuk Seri G. Palanivel berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC selepas Jawatankuasa Pemilihan parti itu hari ini mengumumkan tiada pertandingan untuk jawatan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri K. Kumaran mengesahkan sejak pencalonan dibuka pada 10:00 pagi hingga ianya ditutup pada 12:00 tengah hari, tiada borang pencalonan daripada pihak lain diterima bagi merebut jawatan Presiden MIC.
Katanya, Palanivel yang juga ahli parlimen Cameron Highland menerima 617 borang pencalonan yang ditandatangani 3,702 ketua cawangan MIC di seluruh negara.
"Dengan kuasa yang diberikan kepada saya di bawah Artikel 58.3 dan 58.1.2 Perlembagaan MIC, saya mengumumkan Datuk Seri G. Palanivel dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden MIC untuk tempoh 3 tahun atau sehingga pemilihan seterusnya diadakan."
Sementara itu Palanivel ketika ditemui pemberita menyifatkan sokongan yang ditunjukkan oleh ketua cawangan MIC terhadapnya sebagai bukti perpaduan dikalangan pemimpin serta ahli parti itu diperingkat akar umbi.
"Berdasarkan pencalonan yang saya terima, 96 peratus ketua cawangan menyokong saya untuk jawatan presiden. Ini ialah satu permulaan yang baik untuk MIC."
Katanya sepanjang tempoh tiga tahun yang akan datang, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keahlian MIC dengan menarik minat lebih ramai golongan muda, wanita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai parti itu.
Palanivel pada masa sama berikrar akan meneruskan agenda memperkasa sosioekonomi masyarakat India dengan memperbanyakkan lagi program-program khusus seperti pembangunan perniagaan, pendidikan dan sukan.
Ditanya mengenai samaada beliau mempunyai calon pilihan bagi mengisi jawatan dalam barisan kepimpinan MIC di peringkat pusat, Palanivel berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih calon yang mereka fikirkan layak menerajui parti.
"Sesiapa sahaja yang merasakan dirinya layak boleh bertanding namun akhirnya pemimpin parti di peringkat akar umbi yang akan menentukan siapakah pilihan mereka."
Pemilihan bagi jawatan peringkat pusat bakal ditentukan oleh 1,500 perwakilan peringkat bahagian yang akan memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat pada November depan.
#Datuk Seri G. Palanivel #Presiden MIC
;