"Datuk Seri" ditahan berhubung Kesultanan Sulu

Aizat Sharif
April 4, 2013 14:06 MYT
Seorang lelaki bergelar “Datuk Seri” Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L.Karl yang dikehendaki polis untuk siasatan berhubung kaitannya dengan pihak Kesultanan Sulu, telah ditahan semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan penahanan lelaki yang berumur 57 tahun itu di sebuah rumah pangsa di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
“Lelaki tersebut ditahan pada jam 10.30 malam di Tanjung Aru bersama dengan isterinya berumur 55 tahun dan anak angkatnya berumur dalam 30an,” kata Hamza.
Penahanan suspek dilakukan setelah polis menerima maklumat orang ramai selepas tersiarnya gambar “Datuk Seri” tersebut pada sidang media oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang di Lahad Datu semalam.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap di Balai Polis Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Semalam, Datuk Tan Kok Liang menyiarkan gambar seorang lelaki bernama “Datuk Seri” Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L.Karl untuk membantu siasatan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan pihak Kesultanan Sulu.
#Datuk Seri #dikehendaki Sosma #Lahad Datu #Ops Daulat #pengganas Sulu #polis
;