Datuk Seri didakwa minta, terima rasuah RM15 juta dapatkan projek KDN
Bernama
Mei 10, 2023 12:58 MYT
Mei 10, 2023 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara Jun dan Julai 2021.
Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.
Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.
Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Peguam Low Wei Loke yang mewakili tertuduh tidak membantah syarat tambahan dan wang jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan serta memberitahu mahkamah anak guamnya akan membayar wang jaminan itu hari ini.
Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan dikemukakan pendakwaan selain tertuduh turut disenarai hitam dari ke luar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah sehingga pelupusan kes.
Mahkamah menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA