'Datuk Seri' dan anak antara tiga direman bantu siasatan pecah amanah RM304 juta

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 16, 2021 09:40 MYT
Ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke mahkamah diiringi polis pagi tadi selepas ditahan sepasukan polis di sekitar George Town kira-kira jam 4.40 petang Khamis. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' antara tiga lelaki yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah pelaburan berjumlah RM304 juta.
Lelaki berusia 52 tahun bersama anak lelakinya berusia 26 tahun serta seorang lelaki berusia 29 tahun direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Khalijah Mohd Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Terdahulu ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke mahkamah diiringi polis pagi tadi selepas ditahan sepasukan polis di sekitar George Town kira-kira jam 4.40 petang Khamis.
Difahamkan tiga lelaki itu adalah kakitangan syarikat yang diamanahkan bagi mengagihkan hibah kepada pelabur sebuah syarikat, namun gagal berbuat demikian.
#Rasuah #pecah amanah #Datuk Seri #bergelar Datuk Seri #Mahkamah Majistret