Datuk Seri antara 12 lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan merusuh
Astro Awani
Mac 21, 2017 16:29 MYT
Mac 21, 2017 16:29 MYT
Seramai 12 lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini atas tuduhan merusuh di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, di sini Sabtu lepas.
Bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid.
Mereka adalah Datuk Seri Loh Peng Kok, 35, Tan Ban Chuan, 46; Ng Hao Ning, 29; Muhamad Naim Abdull Rahman, 18; J. Shatheeswaran, 24; N. Kartiga, 26; Curtis Veeran, 19; Tan Teong Boon, 24; Teoh Chee Seng, 36; Siow Peir Sheng, 24; Teoh Kim Teik, 20; dan Tan Kai Chong, 21.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka serta beberapa individu yang masih bebas dituduh melakukan rusuhan di bilik E3 Pusat Hiburan Suncity KTV Mindland pada jam 3.58 pagi, 18 Mac lalu.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala semua tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.
Mohamed Amin kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 seorang dengan seorang penjamin, serta menetapkan 5 Mei depan bagi sebutan semula kes.