Datuk Seri, anak direman berhubung skandal tanah Yayasan Bumiputra

Astro Awani
April 12, 2017 05:41 MYT
Perintah reman ke atas lelaki berusia 74 tahun dan anak lelakinya yang berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini. -Gambar fail
Seorang Datuk Seri yang juga penasihat syarikat pemaju hartanah bersama anaknya yang bergelar Datuk ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan tanah yang melibatkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 74 tahun dan anak lelakinya yang berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.
Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di sini kira-kira jam 10.50 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Datuk Seri itu ditangkap di pejabat SPRM Pulau Pinang manakala anaknya yang merupakan pengarah urusan syarikat itu ditangkap di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Kedua-dua tangkapan dibuat kira-kira jam 7 petang Selasa selepas mereka hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.
Tangkapan itu susulan penahanan seorang pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lalu kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.
Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan tersebut tanpa melalui proses dan tatacara yang telah ditetapkan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga asal.
Perbuatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu.
Syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di sini itu didapati telah membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau Pinang termasuk di bandar Kepala Batas dan Tanjung Bungah.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
#Mahkamah Majistret #Rasuah #SPRM #syarikat pemaju hartanah #yayasan bumiputra pulau pinang berhad