Datuk sempat selamatkan cucu manakala remaja 13 tahun dikhuatiri lemas

Bernama
Februari 26, 2024 00:11 MYT
Jainis Gampanga, 74, berjaya menyelamatkan Jackson Mark manakala Aloysius Alfred, 13, hanyut dibawa arus sungai yang kuat. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sempat diselamatkan oleh datuknya manakala seorang lagi rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai berdekatan Kampung Panagatan dekat Keningau petang tadi.
Jainis Gampanga, 74, berjaya menyelamatkan Jackson Mark manakala Aloysius Alfred, 13, hanyut dibawa arus sungai yang kuat.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang sebelum sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer.
Kenyataan itu menyebut terdapat tiga lagi kanak-kanak, yang juga rakan kedua-dua mangsa, mandi di sungai tersebut.
"Mangsa lemas ada dua orang tetapi seorang kanak-kanak diselamatkan oleh datuknya sendiri dan seorang tidak dapat diselamatkan oleh kerana arus yang kuat," menurut kenyataan itu.
Aloysius belum dijumpai dan pasukan bomba masih berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat seterusnya untuk menjalankan operasi mencari serta menyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan itu, bomba akan mengemas kini maklumat berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
#datuk selamatkan cucu #remaja dikhuatiri lemas #Jainis Gampanga #Jackson Mark #Aloysius Alfred
;