Datuk saudara bangga Jocelyn dilantik Datuk Bandar Eastvale California

Adie Sufian Zulkefli
Disember 15, 2020 08:29 MYT
Bagi Chong, cucu saudaranya itu sememangnya layak dilantik sebagai Datuk Bandar di AS, berikutan sifatnya yang tegas dan bijak bersosial dalam masyarakat sejak dari kecil lagi. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Catatan sejarah bagi negara dan keluarga Datuk Chong Chim Tiong, dan dia kebanggaan semua!
Demikian luahan datuk saudara kepada, Jocelyn Yow, 25 tahun, yang dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat (AS).
Menurut Chong, beliau terkejut dan tidak menyangka sama sekali cucu saudaranya itu diamanahkan untuk memegang jawatan itu pada usia muda.
Namun beliau berbangga dengan pencapaian Jocelyn di mana ia sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.
Baginya, cucu saudaranya itu sememangnya layak, berikutan sifatnya yang tegas dan bijak bersosial dalam masyarakat sejak dari kecil lagi.
Jocelyn merupakan cucu kepada kakaknya, Chong Guat Chu, 75 tahun, yang kini turut menetap di California.
BACA: Wanita asal Malaysia ini bakal jadi Datuk Bandar di wilayah California
Kata Chong, kali terakhir beliau melawat mereka adalah pada Ogos 2018. Ketika itu, Jocelyn memegang jawatan sebagai ahli majlis Eastvale.
Jelasnya, walaupun Jocelyn sibuk dengan kerja, namun dia tetap sempat meluangkan masa duduk bersembang dengannya.
"Kita sebagai adik-beradik dia memang gembiralah. Kita di Malaysia pun, semua orang, tak kira bangsa apa pun, sangat bangga juga.
"Satu Malaysia, kita semua sangat seronok apabila anak Malaysia di sana jadi datuk bandar," katanya.
Jocelyn, menunjukkan sifat kepimpinan sejak belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa, Alor Setar, di mana Jocelyn sering mewakili sekolah dalam pertandingan debat.
Dari situ menampakkan sifat dan dedikasi beliau dalam tugasnya, selain bijak meyakinkan orang serta sangat matang dan menonjolkan sifat sebagai pemimpin.
"Dia tak cakap banyak, tetapi dia aktif. Dia aktif dalam debat sekolah, dia baik dengan kawan-kawan dan cikgu-cikgu sekolah," katanya.
Jocelyn dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, bandar di wilayah Riverside, California, selepas berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale sejak 2018.
Sebelum ini, beliau menyandang jawatan datuk bandar sementara sejak tahun lalu.
Jocelyn merupakan anak kepada pasangan imigran di Amerika Syarikat. Ibunya berasal dari Vietnam, manakala bapanya berasal dari Malaysia dan datang ke Negara Uncle Sam itu pada 1980-an untuk melanjutkan pengajian.
Beliau bersama ibu bapanya berpindah ke Alor Setar, Kedah pada 1996, apabila datuknya menghidap kanser, dan tinggal di negara ini lebih 10 tahun.
Jocelyn seorang yang sangat sukakan makanan tempatan termasuk laksa dan petah bercakap dalam loghat Kedah.
#eastvale #jocelyn yow #California #Chong Chim Tiong #Amerika Syarikat #Vietnam #Alor Setar #Kedah #sekolah #rakyat Malaysia #keluarga #Malaysia #debat #Datuk Bandar Eastvale
;