Datuk Rohana Rozhan bakal terima Anugerah TV antarabangsa
Astro Awani
Februari 21, 2018 21:13 MYT
Februari 21, 2018 21:13 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings (Astro), Datuk Rohana Rozhan akan dianugerahkan Pencapaian Cemerlang dalam Anugerah TV Antarabangsa di Marché International des Program de Télévision (MIPTV), yang akan diadakan pada 9 April 2018 di Palais des Festivals, Cannes, Perancis.
Anugerah ini diberikan kepada individu yang mempamerkan kepimpinan, kreativiti dan inovasi, dan yang mengubah pasaran televisyen global.
Rohana mula berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Astro sejak 2006.
Astro merupakan perintis dalam menawarkan khidmat Video-On-Demand (VOD) dan menyediakan kandungan asal untuk rantau Asia Tenggara.
Rohana juga memainkan peranan penting dalam menerajui strategi pertumbuhan syarikat menerusi kepelbagaian pakej saluran berasaskan satelit dan IPTV sekaligus menjadikannya kandungan berkualiti tinggi.
Kadar penembusan khidmat televisyen Astro telah menjangkau 75 peratus isi rumah seluruh negara selain menghasilkan lebih 13,000 jam kandungan asal dengan pelbagai rakan kongsi di rantau ini.
Kejayaan Rohana sebelum ini termasuk pengiktirafan sebagai seorang tokoh perniagaan di peringkat Asia oleh CNBC pada 2013 dan CNN pada 2016.
Sementara itu, majalah antarabangsa Variety sebelum ini pernah mengiktiraf Rohana dalam laporan Women’s Impact 2014.
Tahun ini buat pertama kalinya pemenang anugerah tersebut dari Asia Tenggara, dan seorang wanita. Anugerah penghormatan yang sama yang diberikan termasuk: Gilles Pelisson, Ketua Pegawai Eksekutif, TF1; Jeremy Darroch, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sky; Anke Schaeferkordt dan Guillaume de Posch, co-CEO Kumpulan RTL; dan, Adam Crozier, Ketua Pegawai Eksekutif ITV.
MIPTV merupakan pasaran utama dan TV digital terkemuka di peringkat antarabangsa.
Setiap April, lebih 10,000 profesional dari stesen televisyen antarabangsa ekosistem hiburan digital bertemu untuk melancarkan dan menemui kandungan baru, menjalinkan kerjasama, membuat rundingan tentang perjanjian kewangan dan pengedaran dan meneroka trend terkini.
Ia akan berlangsung pada 7 hingga 8 April dengan beberapa acara seperti dunia, persidangan dan pengeluaran bersama untuk komuniti faktual, dan MIPFormats, penemuan pameran untuk komuniti format global.
#Anugerah TV Antarabangsa
#Astro
#Cannes
#Malaysia
#MipTV
#Palais des Festivals
#Perancis
#Rohana Rozhan