Datuk Ong Teik Kwang yang mati ditembak pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat - Polis
Astro Awani
Disember 6, 2016 20:36 MYT
Disember 6, 2016 20:36 MYT
Datuk Ong Teik Kwang, yang terbunuh dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu minggu lalu tidak pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah tetapi pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Pulau Pinang Abdul Ghafar Rajab, ahli perniagaan itu dibebaskan susulan undang-undang tersebut dimansuhkan.
“Kaau dilihat dari segi rekod jenayah memang dia biasa ditangkap, tetapi dari segi rekod jenayah dia tidak pernah dituduh di mahkamah. Hanya kita biasa tangkap di bawah EO hari itu tetapi dia dibebaskan selepas EO dimansuhkan.
"Kita dah tangkap dibawah EO tetapi bila EO dimansuhkan ketika itu dia dibebaskan tetapi sama ada dia ada rekod jenayah atau tidak, dia tidak pernah ada sabitan ke atas jenayah tersebut,” katanya selepas majlis perjumpaan Ketua Polis bersama Pesara-pesara Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (RESPA) di George Town pada Selasa.
Dalam kejadian Khamis lalu, Datuk Ong Teik Kwang, maut akibat ditembak di belakang kepala oleh pengawal peribadinya susulan pertengkaran dengan rakan kongsi mangsa dalam kenderaan yang dipandu oleh Ong.
Suspek yang didakwa mengalami masalah mental kemudian memukul dan mengejar rakan kongsi mangsa yang turun dari kereta dan melarikan diri.
Ketika mengejar lelaki berkenaan, suspek telah melepaskan tembakan rambang yang mengorbankan dua pengguna jalan raya, Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming, 32.
Dalam insiden tersebut, empat lagi mangsa turut cedera akibat terkena tembakan rambang.
Mengulas lanjut insiden berkenaan, Abdul Ghafar berkata, polis percaya suspek telah melepaskan kira-kira 11 das tembakan berdasarkan 11 kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian termasuk telah merekod 19 kenyataan daripada saksi dan ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan.
#Abdul Ghafar Rajab
#EO
#Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Negeri
#ong teik kwang
#Ordinan Darurat
#Tembak Pulau Pinang