Datuk Nilwan Kabang veteran politik Sabah meninggal dunia

Ridzal Abdullah
September 19, 2021 10:00 MYT
Allahyarham Nilwan dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat disenangi serta mudah didekati masyarakat akar umbi.
KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak dan veteran politik Sabah, Datuk Nilwan Kabang, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, awal pagi ini, akibat jangkitan COVID-19.
Setelah sebulan bertarung nyawa melawan virus tersebut, beliau akhirnya pergi menghadap Ilahi pada jam 3.45 pagi.
Nilwan, 71 tahun, yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, sebelum ini mendapat rawatan di hospital tersebut pada awal bulan ini.
Rakan terdekat yang juga merupakan anak angkat beliau, Datuk Seri Dr Anil Jeet, ketika dihubungi memaklumkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Negeri Sabah pada pukul 10 pagi ini.
Pengkebumian dijangka berlangsung di Makam Pahlawan.
Menurut Anil, selain berperwatakan sederhana dan bersahaja dalam kehidupan seharian, Allahyarham Nilwan juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat disenangi serta mudah didekati masyarakat akar umbi.
Pemimpin veteran USNO (United Sabah National Organisation) dan UMNO Sabah ini meninggalkan isteri dan tujuh orang anak.
Sebelum ini, rakyat Sabah dikejutkan dengan kehilangan tokoh pemimpin veteran yang amat berjasa kepada negeri, Tun Sakaran Dandai dan Datuk Seri Lajim Ukin, kedua-duanya juga meninggal akibat COVID-19.
#meninggal dunia #veteran politik Sabah #COVID-19 #Nilwan Kabang #ADUN Kunak
;