Datuk, nenek Zayn Rayyan dibebaskan hari ini

Sinar Harian
Jun 13, 2024 09:30 MYT
Fahmi yang mewakili bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin mengadakan sidang media di hadapan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PETALING JAYA: Datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan pada Rabu.
Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, kedua-dua individu itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Sebelum dibebaskan, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret selepas kedua-dua mereka ditahan di Subang Bestari.
"Saya akan membantu kedua-dua mereka berkaitan urusan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Sinar Harian melaporkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autism akan didakwa di Kompleks Mahkamah di sini.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang terbabit ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.
Sejak jam 7 pagi, orang ramai termasuk pengamal media berkumpul di luar Kompleks Mahkamah ini bagi mendapatkan perkembangan terkini kes bunuh kanak-kanak istimewa tersebut. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #Mahkamah Majistret #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Fahmi Abd Moin
;