PETALING JAYA :Polis menahan dua individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman kerana terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa yang juga seorang peniaga mengadu kepada Datuk terbabit kerana sering diganggu along sejak Mac lalu.

"Datuk itu kemudian menawarkan diri untuk membantunya dan kononnya sanggup berbincang dengan along terbabit untuk menyelesaikan masalah berkaitan hutang mangsa.

"Tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan daripada along yang memaklumkan sebarang urusan pembayaran hutang perlu melalui Datuk atau 'pegawai polis' itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Nik Ezanee menambah, kerana terlalu percaya pada suspek, mangsa menyerahkan wang tunai RM60,000 kepada lelaki itu untuk diserahkan kepada along.

Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa membuat pinjaman sejumlah RM200,000 pada 2017 sebagai pusingan modal untuk perniagaannya.

Katanya, mangsa membuat pembayaran RM1,500 setiap bulan sehingga Februari lalu, sebelum rutin itu terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan dia diganggu along.

Beliau berkata, polis menahan seorang lelaki disyaki along berusia 36 tahun pada 12 Oktober lalu sebelum menahan Datuk berusia 43 tahun berkenaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Jumaat lalu.

"Berdasarkan pemeriksaan, lelaki (Datuk) itu mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dia juga pernah memiliki sebuah syarikat keselamatan," jelasnya.