Datuk lemas ketika cuba selamatkan dua cucu di Pantai Irama
Bernama
Februari 8, 2025 16:45 MYT
Februari 8, 2025 16:45 MYT
Mangsa juga pesara kerajaan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang datuk lemas ketika menyelamatkan dua cucu yang dihanyutkan ombak di Pantai Irama di sini, pada Sabtu.
Mangsa juga pesara kerajaan dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Roslee Yusoff, 63, meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd Azrie Sulaiman berkata, mangsa dari Kampung Paya Senang, Kota Bharu ke pantai itu bersama isteri, seorang anak dan dua cucu berusia lapan serta tujuh tahun.
Katanya, warga emas terbabit bersama dua cucu turun ke pantai untuk bermain air di kawasan benteng batu namun secara tiba-tiba kedua-dua cucunya ditarik ombak ke kawasan lebih dalam dan mangsa cuba menyelamatkan mereka.
“Isteri dan anak mangsa yang berada di kedai berhampiran cuba membantu namun anaknya turut ditarik ombak.
“Bagaimanapun, dua cucu dan anak mangsa dapat diselamatkan orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke daratan manakala Rosli yang tidak sedarkan diri diberi bantuan awal kecemasan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.
“Tiga lagi iaitu anak dan cucu dibawa ke Hospital Bachok untuk rawatan susulan,” katanya.
Tambah beliau, jenazah Rosli dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat. - Sinar Harian