Datuk Lat berada dalam keadaan stabil - Mamat Khalid

Hafidah Samat
Januari 14, 2017 18:18 MYT
Menurut Mamat, abangnya cukup ceria dan lebih banyak berbual. - Gambar fail
Pelukis terkemuka negara, Datuk Lat berada dalam keadaan stabil, lapor adiknya, Mamat Khalid hari ini.
Anak sulung Lat, Junaidah pada Sabtu dilaporkan berkongsi dengan portal berita, Malaysiakini keadaan jantung bapanya lemah.
Menurutnya, bapanya stabil, boleh bercakap, berjalan dan makan cuma keadaannya sekarang lemah.
"Memang keadaan jantungnya lemah, tapi beliau stabil, kata Mamat ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
BACA: Kartunis Datuk Lat kini dirawat di ICU gara-gara komplikasi jantung.
Lat atau nama sebenarnya Mohamad Nor Khalid, 65 dimasukkan ke Hospital Pantai, Ipoh minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu.
BACA: MB Perak lawat Datuk Lat di hospital
Beliau bagaimanapun, dimasukkan semula ke Hospital Pantai pada Jumaat dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana wad biasa penuh dengan pesakit lain.
"Ya, benar. Beliau pergi ke hospital untuk pemeriksaan rutin. Namun, doktor menasihati beliau untuk dimasukkan ke hospital untuk berehat selepas mendapati keadaan jantungnya agak lemah," kata Mamat yang juga merupakan seorang penulis skrip.
Menurutnya, keadaan hospital yang padat ketika ini menyebabkan abangnya ditempatkan di wad ICU buat sementara waktu.
"Apabila berita keluar beliau ditempatkan di wad ICU, orang ramai mula gempar kerana menyangkakan beliau tidak sihat," tambahnya.
"Bila mendapat berita beliau dimasukkan ke hospital, saya terus bergegas ke Ipoh dari Kuala Kangsar untuk melawatnya. Dia ceria dan lebih banyak berbual," katanya.
#jantung #Lat #Mamat Khalid
;