Datuk kepada pembantu juruterbang MH17 mahu jenazah cucunya dibawa pulang
Astro Awani
Julai 20, 2014 21:17 MYT
Julai 20, 2014 21:17 MYT
Datuk kepada pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terbabit dalam tragedi nahas, Ahmad Hakimi Hanapi hari ini pilu apabila cucunya itu pernah dijadual mengendali pesawat MH370 yang hilang empat bulan lalu.
Daud Abdul Kadir, 80, menjelaskan, Allah lebih menyayangi cucunya itu dan mengambilnya dalam nahas MH17.
Beliau berkata cucunya pernah memberitahu beliau yang dia bersyukur kerana tidak menjadi mangsa kehilangan pesawat MH370 itu.
Semasa datang melawatnya selepas beberapa minggu selepas kehilangan mh370 Ahmad Hakimi ada memberitahunya yang dia sepatutnya turut terlibat dalam mengendalikan pesawat itu, namun tugas Ahmad Hakimi ditukar dengan seorang pembantu juruterbang yang berasal dari Pasir Mas.
Katanya apa yang beliau harapkan ialah supaya jenazah cucunya dapat dibawa pulang dan disempurnakan pengebumiannnya di sini.
Pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Ahmad Hakimi Hanapi
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di kediamannya.
Datuk Ahmad Yakob mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan sehingga mengorbankan mangsa-mangsa yang tidak berdosa.
Beliau mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab untuk mencari dalang sebenar dan perlu dibentuk segera sebuah badan bebas penyiasat.
“Kita harapkan semua pihak terutama masyarakat dunia mengutuk dan mendesak pihak PBB supaya dapat membawa mereka yang tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi,” kata Ahmad Yakob.
Tambah beliau, pihak berkuasa diharap dapat menguruskan bangkai pesawat dan semua barang bernilai milik mangsa dengan lebih tersusun supaya ianya dapat dikembalikan kepada Malaysia dan ahli keluarga mangsa.
Ahmad Yakob juga mahu kotak hitam diserah kepada kerajaan Malaysia kerana pesawat itu adalah milik kerajaan Malaysia.
“Kotak hitam tidak boleh diambil oleh mana-mana negara kerana ia bercanggah dengan undang undang antarabangsa. Kita bimbang jika kotak hitam dikuasai oleh pihak lain, segala bukti akan dilenyapkan,” katanya.