Datuk hampir pengsan lihat tangan cucu hancur, pipi terbelah kena letupan mercun

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2025 17:42 MYT
Mohd Noor menunjukkan dinding tempat dia menemui cebisan daging dan darah cucunya selain saki-baki mercun dipercayai jenis telur naga. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA NERANG: Datuk kepada dua beradik yang parah akibat terkena letupan mercun di Kampung Baru dekat Kuala Nerang hampir pengsan sebaik melihat cucu kesayangan dalam keadaan tangan hancur terkulai dan pipi terbelah.

Ringkasan AI
  • Dua beradik, Muhammad Zharif Daniel dan Muhammad Aiman Naufal, cedera parah akibat letupan mercun di Kampung Baru, Kuala Nerang.
  • Datuk mereka, Mohd Noor Abdullah, hampir pengsan melihat cucu-cucunya dalam keadaan tangan hancur dan pipi terbelah, serta segera membawa mereka ke hospital.
  • Keluarga tidak mengetahui jenis sebenar mercun yang menyebabkan kecederaan, tetapi menemui saki-baki mercun dipercayai jenis telur naga dan serpihan botol air mineral.

Mohd Noor Abdullah, 60, mengalirkan air mata ketika menceritakan semula kejadian menimpa dua cucunya, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, dan Muhammad Aiman Naufal, 4, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam tadi, Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan parah dengan tangan kiri hancur hingga pergelangan tangan, manakala bawah pipi kanan terkoyak besar.
BACA: Tragedi menjelang Syawal, abang parah, adik cedera main mercun bola di Kedah
Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi letupan kuat.
Dia kemudian berlari keluar dan terkejut melihat Zharif dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 10 meter dari rumah.
"Keadaan dia sangat teruk yang mana tangan sebelah kiri hancur hingga pergelangan tangan, manakala bahagian bawah pipi sebelah kanan terkoyak.
"Saya hampir pengsan tetapi saya kuatkan semangat dan mengambil sehelai baju untuk membalut tangan cucu.
"Dia meraung sambil memberitahu sakit dan pedih. Adiknya, Muhammad Aiman turut cedera dan dia juga menangis.
"Kami kemudian segera menghantar mereka ke Hospital Kuala Nerang sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, pada Rabu.
Ujarnya, dia dan ahli keluarga lain tidak mengetahui jenis sebenar mercun yang mengakibatkan dua beradik itu cedera.
Katanya dia menemui cebisan daging dan kesan darah cucunya pada dinding selain saki-baki mercun dipercayai jenis telur naga.
Dia berkata, turut menemui serpihan botol air mineral yang dipercayai digunakan mangsa untuk memasukkan sejumlah mercun sebelum ia meletup kuat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera parah akibat bermain mercun jenis bola di rumah mereka di Kampung Baru, malam tadi.
#mercun #cedera parah #tangan hancur #Kanak-kanak
;