Datuk Fauzi Ayob dilantik sebagai Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu berkuat kuasa 1 Jan ini.

Finas dalam kenyataan pada Khamis berkata pelantikan secara kontrak selama setahun itu diumumkan Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada majlis penyampaian Cek Insentif Filem Cereka di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas Hulu Kelang.

Fauzi yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas menggantikan Ketua Pengarah sebelum ini, Datuk Kamil Othman yang menamatkan kontraknya pada November lepas.

Pada majlis sama, turut diumumkan pelantikan Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Timbalan Ketua Pengarah Finas bermula 1 Jan ini. Sebelum ini, beliau memegang jawatan Pengarah Kanan Bahagian Komersial Finas.

Kedua-dua mereka dilantik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

-- BERNAMA