Datuk bersama cucu ditemukan lemas dalam kolam
Adie Sufian Zulkefli
September 12, 2023 10:35 MYT
September 12, 2023 10:35 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang tidak pulang ditemukan lemas bersama cucunya di dalam kolam ikan di Taman Kempas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, mayat lelaki berusia 78 tahun bersama cucu lelaki berusia setahun tujuh bulan terapung oleh orang awam pada jam 7.30 petang.
Menurutnya, polis menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki yang memaklumkan terjumpa mayat lelaki dan kanak-kanak di dalam kolam ikan berhampiran pagar sebuah restoran di Taman Kempas.
“Anggota polis dari Balai Polis Tikam Batu tiba di tempat kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa dijumpai terapung di dalam kolam yang ditinggalkan, sedalam 1 meter.
“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Azmi Abdullah dan cucunya Muhammad Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith.
Menurut Zaidy, bapa kanak-kanak terbabit memaklumkan, dia yang bekerja di restoran bersebelahan tempat kejadian berkata, kebiasaannya setiap petang anaknya itu akan dibawa datuknya ke tempat kerja ibunya di sebuah kedai makan.
Namun, setelah jam 7 petang kedua-duanya tidak pulang, menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak diingini berlaku setelah mendapati orang ramai berkerumun di kolam itu.
Zaidy berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.